Alhamdulillah, ilmu ini telah disampaikan sebaik mungkin oleh Tuan Rohan Razi (sekalung kasih buatmu dan hanya Allah yang mampu membalas segala ilmu yang dicurahkan).
Sehingga kini, banyak sekali perkongsian mengenai ilmu ini telah saya sampaikan kepada insan-insan yang ‘menderita’ akan kerakusan manusia yang mengagungkan kenikmatan dunia semata-mata hanya dengan ‘menyerahkan diri’ untuk mensyirikkan Allah Tuhan Yang Maha Esa.
Tahukah anda bahawa Sihir itu boleh bergerak melalui gelombang telefon samada melalui perbualan atau teks? Di dalam udara ini mempunyai gelombang-gelombang (waves) samada yang baik atau tidak. Jika ‘gelombang jahat‘ dituju kepada seseorang, pasti akan tepat mengenai Si mangsa kerana ia mempunyai dan memegang telefon tersebut di ketika itu.
Orang Melayu telah lama mengenali sihir cara ini dan ianya dipanggil ‘santau angin’.
Mengikut Dr Amran Kasimin dalam bukunya yang bertajuk Amalan Sihir Masyarakat Melayu: Satu Analisis; “Santau hikmat juga dikenali sebagai “santau seru” ataupun “santau angin”. Dinamakan demikian kerana santau jenis ini boleh dihantar atau dikenakan kepada mangsanya dengan menyeru jin supaya membawa bahan tersebut kepada mangsanya. Santau ini akan dimasukkan ke dalam makanan atau minum (Page : 175-176).
Beliau takrifkan ‘santau hikmat‘ sebagai “Bahan-bahan ini (bahan bisa, gatal dan pedih) disertakan dengan pemujaan terhadap jin-jin” (Page : 174).
Oleh itu ‘gelombang jahat‘ yang bergerak melalui gelombang telefon adalah turut tidak terkecuali di adun dengan ‘santau hikmat‘ ini. Sebelum ia dilepaskan maka unsur pertama dan kedua itu diadun. Ia boleh diletakkan di telefon sebagai suatu contoh dan disertai mentera yang memuja jin dan kemudian ia dilepaskan. Gelombang jahat itu bergerak di udara melalui gelombang telefon. Apabila telah sampai maka mangsa akan terkena samada secara panggilan atau teks (tulisan atau gambar). Tanda-tandanya ialah telefon Si mangsa akan menjadi ‘hang‘.
Cara santau merebak boleh jadi melalui santau angin atau santau hakikat.
‘Santau hakikat‘ ditakrifkan oleh Dr Amran Kasimin sebagai santau yang tanpa melibatkan pemujaan para jin (Page : 174). Ia terjadi apabila Si mangsa yang telah terkena sihir ini berhubung dengan orang lain (pihak ketiga) juga melalui telefon samada perbualan ataupun teks / gambar maka pihak ketiga ini turut terkena bahana nya. Ia bergantung kepada kekuatan sihir jika lemah senang disembuhkan tetapi jika kuat ia mengambil masa untuk dipulihkan.
Telifon ini umpama diri kita dan sekarang ini menjadi antara keperluan wajib yang perlu ada dalam kehidupan seharian kita. Ia di bawa ke mana-mana. Ia sarat dengan falsafah keinsanan terutama bahagian suara (perbualan) dan penglihatan (teks, gambar dan juga video). Kita boleh merasa pening kepala jika ada seseorang yang menghantar sesuatu yang buruk melalui gelombang jahat ini. Cara untuk menghadapinya adalah dengan memasang bacaan al-Quran dan Insya Allah ia akan menyembuhkan.
Ada satu lagi disiplin yang diajar kepada saya melalui ilmu yang di sampaikan oleh Tuan Rohan Razi ialah dengan ‘membersihkan’ telefon kita dengan secara memasang frekuensi tertentu. Oleh kerana gelombang jahat ini turut di hantar menggunakan frekuensi maka kami turut sama menggunakan medium yang sama dalam usaha meneutralkannya.
Frekuensi yang digunakan ialah 4738 Hz dan Alhamdulillah, banyak kemajuan dalam penyembuhan diri atas izin dari-Nya.
Bagi disiplin ini mereka berdalil kepada firman-Nya yang agung;
وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهٖ وَا لْمَلٰۤـئِكَةُ مِنْ خِيْفَتِهٖ ۚ وَيُرْسِلُ الصَّوَا عِقَ فَيُصِيْبُ بِهَا مَنْ يَّشَآءُ وَهُمْ يُجَا دِلُوْنَ فِى اللّٰهِ ۚ وَهُوَ شَدِيْدُ الْمِحَا لِ ۗ
“Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.” (QS. Ar-Ra’d 13: Ayat 13)
Guruh (الرَّعْدُ) itu sebenarnya malaikat yang bertasbih dan bertahmid kepada Allah kerana takut kepada-Nya. Ia adalah bunyi, lantas bunyi guruh itu menghasilkan petir (الصَّوَاعِقَ) yang memusnahkan.
Ada yang berkata ia memberi cas-cas positif kepada bumi. Begitu juga dengan kita memasang frekuensi kepada telefon kita, ia turut membuang cas-cas negatif.
Frekuensi 4738 Hz ini merupakan kod di dalam Surah Muhammad melalui ayat 38 di bawah;
“(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (QS. Muhammad 47: Ayat 38)
Begitulah surah-surah yang lain. Setiap dari ayatnya juga mempunyai kod-kod tertentu yang Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya.
Setiap atom mempunyai frekuensi. Bahkan otak kita juga mempunyai frekuensi tersendiri. Jika frekuensinya sama, maka ia akan bersama dan kita boleh mengesannya. Malah, kita turut boleh berdepan dengan orang yang mempunyai frekuensi yang sama dengan kita.
Semasa kita berbual kita sebenar dalam tiga minda;
- Sedar (conscious mind) – Kita dapat mengawal diri kita
- Separa sedar (subconscious mind) – Berselang seli antara diri kita dan qarin jin kita
- Tidak sedar (unconscious mind) – Keseluruhannya adalah qarin jin kita
Kategori yang kedua dan ketiga ini adalah sihir dan turut dikenali sebagai pukau.
Ketika itu tubuh kita telah digodam. Pukau ditakrifkan oleh Dr Amran Kasimin sebagai; “Amalan menguasai diri seseorang yang dilakukan melalui cara-cara tertentu, yang boleh menyebabkan seseorang itu seumpama terkaku, tidak berupaya bertindak, berada dalam penguasaan seseorang, membolehkan mangsa melakukan sesuatu menurut arahan-arahan yang diberi.” (Page : 161)
Oleh itu, adalah wajar bagi kita untuk celik teknologi komunikasi dan disiplin sihir yang disebut dalam al-Quran. Walau kita memejam mata dan tidak peduli dengan gelombang jahat ini malah telefon itu tetap kita bawa ke mana-mana tanpa berpisah, tidak mustahil kealpaan kita akan menjadi mangsa.
Pada masa yang sama, yakinlah bahawa Allah ingin menguji kita sebagai hamba-Nya samada kita tergolong dalam kalangan orang yang sabar atau kufur dengan nikmat Allah. Oleh itu janganlah kita mengeluh kenapa kita diuji dengan kesakitan, disantau, diganggu jin dan sebagainya.
Ketika mana kita diuji dengan kesakitan, hikmah sebenarnya adalah Allah sayangkan kita dengan Allah memberikan pahala yang sangat besar disebabkan kesabaran kita dengan ujian kesakitan tersebut.
Seterusnya, Allah sayangkan kita dengan mengampunkan dosa-dosa yang kita telah kita lakukan dan Allah akan mengangkatkan darjat kita.
Hatta Nabi Muhammad SAW sendiri pun, kekasih Allah yang maksum dari melakukan dosa, Allah uji dengan sihir yang dihantar oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq.
Kerana itulah kita jangan hairan dan jangan menyalahkan Allah dengan ujian yang diturunkan kepada kita. In Shaa Allah pasti ada hikmah di sebaliknya yang hanya Allah mengetahui.
Rohan Razi
Sumber Asal :
https://rohanrazi.org/2018/08/15/sihir-melalui-gelombang-telefon/
Baca Juga : Falsafah Matematik
https://mimbasyinranetwork.blogspot.com/2023/05/falsafah-matematik-perbahasan-tentang.html