Quantum Metal Mahu Lebar Sayap Ke 60 Negara
Khong Soon berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Quantum Metal di George Town |
GEORGE TOWN: Syarikat pelaburan emas patuh syariah, Quantum Metal Sdn Bhd (Quantum Metal) menyasar untuk melebarkan sayap ke 60 negara dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengasasnya, Datuk Lim Khong Soon, berkata ketika ini
Quantum Metal sudah bertapak di 13 buah negara termasuk United Kingdom,
Australia, Amerika Syarikat, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.
"Pencapaian itu sekali gus menunjukkan bahawa syarikat
kini berada pada landasan yang tepat bagi memenuhi sasaran untuk melebarkan
sayap ke 60 negara dalam tempoh dua tahun ini ke negara yang mempunyai ramai
penduduk.
"Setakat ini sambutan di negara yang kami sudah
bertapak sangat baik, sebab itu kami mahu terus melebar luas Quantum
Metal," katanya kepada Bernama selepas Majlis Makan Malam Ulang Tahun
ke-10 Quantum Metal.
Menurutnya, ketika ini Quantum Metal mempunyai kira-kira
40,000 perunding dan lebih 400,000 ahli berdaftar di seluruh negara dengan
antara 2,000 hingga 3,000 ahli baharu mendaftar dengan syarikat itu setiap
hari.
Sementara itu, Khong Soon berkata, Quantum Metal juga
komited membantu seramai mungkin rakyat Malaysia untuk keluar daripada belenggu
masalah kewangan di bawah penyelesaian pemulihan ekonomi terutamanya pada tahun
ini berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan ekonomi.
Beliau berkata, syarikatnya juga mahu mendedahkan kepentingan
atau nilai sebenar emas kepada masyarakat bahawa ia bukan sekadar untuk
disimpan sebagai pelaburan, tetapi boleh ditunaikan serta digunakan bagi
perbelanjaan harian.
"Kami memperkenalkan inisiatif produk jual beli dan
penyelesaian pemulihan ekonomi melalui emas yang patuh syariah malah pengenalan
inisiatif berkenaan sebagai satu usaha untuk membantu meningkatkan tahap
ekonomi semua pihak," katanya sambil menambah ia sekali gus akan
memberikan ruang kepada lebih ramai masyarakat untuk mendapatkan emas serta
pulangan daripada pelaburan itu.
Menurutnya, pelaburan dalam emas akan dapat memberi pilihan
kepada individu, pemilik syarikat dan masyarakat secara amnya untuk
meningkatkan tahap ekonomi masing-masing di samping menjana pendapatan untuk
diri sendiri dan keluarga.
- BERNAMA
Sumber : Berita Harian